BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, February 25, 2011

Laksanakan undang-undang jalan raya dengan serius

Monday, 28 December 2009 11:24am

Utusan:TANGGAL 26 Disember setiap tahun dipilih sebagai Hari Kesedaran Bencana Negara. Sungguhpun kita tidak mengalami bencana alam yang begitu hebat tetapi negara kita juga sering berdepan dengan beberapa kejadian bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan tsunami.

Kita membuat pelbagai persiapan dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi kemungkinan berlaku bencana alam.

Malangnya kita masih gagal menangani bencana di atas jalan raya. Tarikh 26 Disember ini juga akan terus kita ingati kerana tragedi bas ekspres dua tingkat meragut 10 nyawa di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Ipoh. Kemalangan maut ini cukup tragis kerana ada di antara penumpang putus kepala serta beberapa anggota badan lain. Adakah tragedi itu satu lagi takdir? Jika demikian, adakah kita hanya berserah sahaja kepada Tuhan? Sedangkan kita dibenarkan untuk mengelak takdir itu daripada terjadi.

Entah kenapa, musim cuti sekolah tahun ini begitu banyak kemalangan maut terjadi. Semalam empat beranak terbunuh dengan tiga daripada mereka rentung dalam kemalangan ngeri di Tangkak, Johor. Hampir setiap hari kita membaca berita tentang hal ini.

Ada majlis pernikahan bertukar menjadi majlis tahlil, ada yang menunggu kepulangan orang tersayang tetapi menerima kepulangan jenayah.

Kita amat memahami perasaan pilu ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi kemalangan maut. Apa yang kita kesalkan, kenapa kemalangan maut masih melibatkan bas ekspres. Tidakkah tragedi masa-masa lalu menjadi panduan supaya pemandu bas lebih berhati-hati.

Bukan sedikit peringatan dan amaran keras dikeluarkan oleh pihak berkuasa tetapi nampaknya tidak berkesan.

Banyak cadangan dikemukakan oleh Kementerian Pengangkutan dan agensi keselamatan jalan raya di bawahnya serta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan untuk bertindak terhadap bas ekspres yang mengabaikan keselamatan penumpang.

Setakat ini kurang sangat kita mendengar tuduhan dan hukuman yang diterima oleh pemandu yang cuai dan syarikat bas ekspres terbabit. Kalau semua kes kemalangan maut senyap begitu sahaja dan mengambil masa yang begitu lama untuk diselesaikan maka ia tidak menakutkan kepada pemandu-pemandu bas ekspres.

Kita amat memahami bahawa bukan semua pemandu bas inginkan dirinya terlibat dalam kemalangan maut tetapi pengajaran dan hukuman berat patut diutamakan.

Seperti lazimnya, selepas ini kita akan mendengar pelbagai cadangan daripada menteri, pengarah jabatan tertentu dan orang ramai mengemukakan pandangan untuk menangani kejadian seumpama ini daripada berulang lagi.

Kita akan mengulangi cadangan yang hampir sama apabila berlaku kemalangan maut lagi. Begitulah sikap kita sebagaimana apa yang kita lakukan pada masa lalu. Segalanya cukup sukar untuk diubah.

Mungkin budaya masyarakat Malaysia yang tidak makan saman atau nasihat. Pendidikan dalam pematuhan dan cara pemanduan di jalan raya masih belum benar-benar dihayati apatah lagi pemandu kenderaan awam.

Begitu juga penguatkuasaan undang-undang. Kita mempunyai banyak peraturan tetapi kurang serius dalam pelaksanaannya. Apakah kekurangan kakitangan akan terus diguna sebagai alasan?

SUMBER:http://www.malaysianbar.org.my/legal/general_news/laksanakan_undang_undang_jalan_raya_dengan_serius.html

0 comments: